Blogroll

Selamat Datang ke kami2abdurrahman.blogspot.com. مرحبا بكم Welcome . "Bienvenue" .Semoga antum mendapat manfaat dari post yang ader kat blog nih... Selamat Bermujahadah!!!

Main Page

Jumaat, 29 April 2011




 

Jauhi Riak

PENYAKIT rohani yang mengancam kemurnian akidah umat Islam ialah sifat riak yang masih wujud walaupun ia dibenci Allah. Riak boleh membinasakan segala kebaikan dan pahala amal soleh seseorang itu. Sifat riak boleh dihindari dengan memperkuat dan mempertingkatkan iman sementara hati sentiasa takut akan azab dan seksaan Allah di akhirat nanti.
"Nun, demi pena dan apa-apa yang mereka tuliskan"
Imam Al-Ghazali berkata, riak adalah mencari kedudukan pada hati manusia dengan memperlihatkan kepada mereka hal kebajikan. Imam Habib Abdullah Haddad pula berpendapat, riak ialah menuntut kedudukan atau minta dihormati orang ramai dengan amalan yang ditujukan untuk akhirat.
Paling mudah disimpulkan, riak adalah perbuatan yang semata-mata bertujuan mengharapkan sanjungan, pujian atau penghormatan orang lain. Hal ini bertentangan kehendak Islam yang menyeru umatnya beramal atau melakukan perkara kebajikan dengan hati ikhlas mengharapkan keredaan Allah.
Jika penyakit riak dibiarkan terus bersarang dalam hati seseorang, lama kelamaan ia akan membinasakan kemurnian akidah, keluhuran akhlak dan kesempurnaan amal umat Islam. Memang ada kalangan umat Islam yang melakukan sesuatu amalan kebajikan atau ibadat hanya untuk mengaburi mata orang ramai.
Mereka melakukan amalan kebajikan atau ibadat untuk menunjukkan kononnya mereka itu baik, pemurah, warak atau rajin beribadah.
Mereka lakukan perkara itu kerana didorong hawa nafsu yang sentiasa berusaha memesongkan mereka yang lemah imannya.

Rasulullah sentiasa mengingatkan umatnya supaya menjauhkan diri daripada perbuatan riak. Sabda baginda bermaksud: Awaslah kamu jangan mencampuradukkan antara taat pada Allah dengan keinginan dipuji orang (riak), nescaya gugur amalanmu (Hadis riwayat Ad-Dailami)
إِنَّ الْمُنَافِقِينَ يُخَادِعُونَ اللّهَ وَهُوَ خَادِعُهُمْ وَإِذَا قَامُواْ إِلَى الصَّلاَةِ قَامُواْ كُسَالَى يُرَآؤُونَ النَّاسَ وَلاَ يَذْكُرُونَ اللّهَ إِلاَّ قَلِيلاًSesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk salat mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya (dengan salat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali. 
(Surah An-Nisa 4: Ayat 142)
Pepatah Melayu ada menyebut - "Tak kenal maka tak Cinta". Ungkapan ini, antara lain membawa maksud, jika kita tidak kenal dengan seseorang bagaimana mungkin kita dapat menzahirkan perasaan cinta terhadapnya. Tidak pernah wujud orang yang bercinta dengan seseorang yang tidak pernah diketahui atau dikenalinya terlebih dahulu.
Tidak hairanlah dalam Islam, perkara pertama yang perlu dititikberatkan sebagai Muslim ialah mengenal Allah atau dalam Bahasa Arabnya berbunyi -Awwaluddin Ma'rifatullah. Sebab itulah, jika dilihat kepada ayat-ayat al-Quran yang terawal diturunkan atau yang juga dipanggil Ayat Makkiyyah (yang diturunkan di Makkah), kebanyakannya menceritakan tentang kebesaran Allah atau aspek-aspek berkaitan akidah yakni keesaan Allah.
Ini kerana pada ketika itu, masyarakat jahiliyyah masih menyembah berhala dan mengamalkan pelbagai amalan khurafat yang lain. Ayat-ayat yang kebanyakannya dimulakan dengan ungkapan 'Ya Ayyhuhannas' ini bertujuan untuk membersihkan jiwa manusia daripada unsur syirik dan khurafat tersebut.
Hanya setelah unsur-unsur jahiliyyah dan syirik tersebut dinyahkan, barulah prinsip-prinsip serta syariat Islam yang lain dapat diterapkan ke dalam diri seorang Muslim.
Jika dilihat pada ayat-ayat Makkiyyah tersebut, tidak dinyatakan tentang persoalan Ibadat seperti Solat, Zakat, Haji dan sebagainya. Ini kerana, persoalan Ibadat yang merupakan manifestasi cinta seseorang hamba kepada Tuhannya hanya akan datang apabila seseorang itu telah mengenal tuhannya atau dalam kata lain - telah jelas dari sudut akidahnya.
Kenal Allah, Baru Ibadat
Jika teori ini diambil kira, maka pendekatan dalam berdakwah kepada Non-Muslim kita pada hari ini tidak sepatutnya didahulukan dengan perkara Ibadat. Bagaimana mungkin kita ingin menyuruh Non-Muslim melakukan ibadah jika mereka belum mengenal Allah. Apabila mereka sudah kenal Allah, barulah beransur-ansur akan datang perasaan ingin menunjukkan rasa kasih dan cinta kepadaNya iaitu melalui amal ibadah yang telah disyariatkan.
Begitulah juga cinta kita kepada Rasululluah saw.. Bagaimanakah agaknya cara untuk menzahirkan perasaan cinta kepada Baginda? Sudah tentulah persoalan tersebut hanya dapat dirungkaikan dengan kita terlebih dahulu mengenal Rasulullah saw..
Mengenal Rasulullah saw., antara lain bermaksud kita tahu apa yang Baginda suka dan apa yang Baginda benci atau apa yang Baginda suruh dan apa yang Baginda larang. Jika kita enggan membuat perkara yang Baginda suka atau masih membuat perkara yang Baginda larang, maka kita masih belum cukup kenal, jauh sekali untuk bercinta dengan Baginda saw..
Suami Isteri
Sebagaimana kedaannya sepasang suami isteri yang saling mencintai antara satu sama lain. Si suami akan berusaha membuat apa yang disukai dan meninggalkan apa yang dibenci isterinya sebagai tanda dan bukti cinta yang tidak berbelah bahagi kepada isterinya. Namun, jika si isteri melihat si suami sudah tidak lagi membuat perkara yang disukainya atau membuat perkara yang dibencinya, maka ia seolah menunjukkan cinta dan sayang si suami tadi sudah semakin pudar.
Maka, begitulah juga halnya dengan cinta kita kepada Rasulullah saw.. Tidak sempurna cinta kita kepada Baginda jika kita tidak melaksanakan arahan serta mengamalkan sunnah Baginda dalam kehidupan seharian.
Memperlekeh & Membenci??
Bagaimanakah kita ingin mengatakan kita cintakan Rasulullah jika kitalah orang pertama yang memperlekehkan dakwah Baginda? Bagaimanakah kita ingin katakan yang kita amat menyintai Baginda jikalau kitalah orang yang paling bencikan sunnah dan ajaran Baginda?
Jika Rasulullah saw. tidak pernah melebihkan kaum Arab ke atas kaum yang lain - kerana setiap anak Adam itu sama sahaja di sisi Allah melainkan yang bertaqwa, kita pula membeza-bezakan darjat sesama manusia hanya kerana bangsa dan warna kulit.
Jika Rasullullah saw. menjadikan dakwah Islamiah sebagai agenda hidup-mati Baginda, kita pula hanya menjadikannya kerja-kerja part-time yang bersifat bermusim malah mengharapkan balasan duniawi di sebalik kerja-kerja tersebut. Jika Baginda sanggup menghukum anakanda baginda Fatimah sekiranya beliau mencuri, kita pula lebih suka menyebelahi anak kita meskipun anak kita melakukan kesilapan.
Malah, jika kita seorang yang berpengaruh, kita akan cuba sedaya upaya menggunakan pengaruh dan kuasa untuk memastikan anak kita yang bersalah itu dilindungi atau tidak dihukum. Jika Rasulullah menyuruh kita menjaga batasan pergaulan dan menutup aurat, kitalah orang yang paling gemar mendedahkan aurat dan bergaul bebas tanpa batasan.
Jika Rasulullah menyuruh kita berlaku adil - iaitu memberikan hak kepada mereka yang berhak, kita pula hanya memberikan hak kepada orang yang kita sayangi, yang kita kenali, yang mempunyai persamaan dengan kita, meskipun kekadang mereka tidak berhak! Jika Rasulullah mewasiatkan kita untuk berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan hidup, kita kadangkala tidak ambil pusing akan apa yang terkandung dalam kedua-duanya.
Jika Rasulullah menyuruh kita bercakap benar, kitalah orang yang paling suka membuat spekulasi palsu untuk kepentingan diri. Jika Rasululllah menganjurkan agar kita takutkan kemurkaan Allah lebih dari segala-galanya di atas muka bumi ini, kita pula lebih takutkan sesama manusia, lebih-lebih lagi  jika ia berkait dengan periuk nasi kita.
Jika Rasulullah menyuruh kita mengasihi orang lain sebagaimana kita mengasihi diri kita, kita pula hanya mementingkan diri sendiri. Jika Rasulullah menyuruh kita menunaikan amanah yang telah dimanahkan - lebih-lebih lagi jika ia berkait dengan kepentingan umum, kitalah orang yang paling gemar mengkhianati amanah tersebut.
Berarak Sahaja Tidak Cukup
Nah, jika kita masih melakukan apa yang Rasulullah saw. tidak suka, bagaimana mungkin kita katakan kita sudah cukup kasih akan Baginda. Sesungguhnya, kasihkan Baginda tidak memadai dengan hanya berarak dan berselawat memuji Baginda, tetapi juga menginsafi falsafah diutuskan Baginda kepada kita semua, iaitu tidak lain dan tidak bukan sebagai rahmat sekalian alam.
Moga-moga belum terlewat untuk kita kembali 'menghargai' rahmat yang didatangkan kepada kita melalui pengutusan baginda Rasulullah saw.. Mudah-mudahan dengan cinta dan kasih kita yang tidak berbelah bahagi ini, kita akan beroleh syafaat Baginda di akhirat kelak seterusnya sama-sama menghuni syurga Allah bersama-sama Baginda, para anbiya', solihin dan pejuang-pejuang agama suci ini.

Layakkah Kita Bergelar Saudara?

"Umi!!!!" Khalid menjerit nyaring.
Sebaris rumah baru sahaja dihancurkan oleh jentolak di hadapan matanya. Khalid yang bersembunyi di sebalik batu-batu yang ada hampir sahaja menjerit ketakutan, mujur suaranya itu tersekat di kerongkong sehinggalah tentera-tentera kejam itu berlalu pergi... Jika tidak, entahkan hidup entahkan tidak lagi dirinya di muka bumi ini.
"Umi!!!" Khalid menjerit lagi.
Kanak-kanak berusia 6 tahun itu berlari-lari di atas serpihan batu-bata,t erpaksa memungkinkan bahawa ibunya ada di situ... Cuaca yang panas terik tidak memberhentikan kakinya daripada terus melangkah, berlari ke segenap penjuru mencari insan yang paling dikasihinya.
"Khalid.. Khalid anak umi..."
Suara lembut itu membuatkan kepala Khalid menoleh ke arah sisinya. Wajahnya yang dibasahi peluh tersenyum senang melihat kehadiran Nur Laili, satu-satunya ahli keluarganya yang masih hidup pada saat itu. Khalid berlari ke arah Nur Laili, Nur Laili mendakapnya senang...
"Umi, Khalid ingat umi dah tinggalkan Khalid macam abi..."
* * *
"Khalid... Mari cepat pergi ke masjid, sekejap lagi azan ni!"
Kedengaran suara Salman Al-Farisi memanggil dari luar rumah. Khalid yang baru sahaja keluar dari bilik air terkedek-kedek lari mendapatkan bapanya.
"Umi, Khalid pergi dulu..." ucapnya seraya melangkah pergi...
"Abi, kenapa kita kena solat di masjid?. Umi tak pergi masjid pun abi..." Khalid bertanya. Matanya yang bening memandang tepat ke dalam anak mata Salman Al-Farisi.
Salman Al-Farisi menarik nafas panjang.
"Kita kan orang Islam sayang, kita lelaki, lelaki kuat, jadi kena solat di masjid. Umi tak apa solat di rumah. Lagipun, bila ramai-ramai orang Islam berkumpul di masjid, orang kafir pun akan gerun, nampaklah orang Islam ni bersatu, bila bersatu, kita  akankuat kan sayang?" Salman Al-Farisi cuba menerangkan seringkas mungkin buat kanak-kanak berusia 6 tahun itu.
"Tapi abi...."
"Kenapa Khalid?"
"Kenapa dulu masjid kosong saja, sekarang ni baru nampak penuh... Bukankah sekarang ni banyak tentera, kat setiap penjuru ada tentera, dulu tak ada tentera kenapa orang tak sibuk ke masjid?" Penuh ketulusan suara itu bertanya.
Salman Al-Farisi termenung jauh. Tangannya yang memimpin tangan Khalid digenggam seerat mungkin. Bagaimanakah cara terbaik untuknya menerangkan keadaan ummah pada masa kini kepada kanak-kanak sekecil Khalid.
"Khalid... Kalau Khalid dapat apa yang Khalid nak, tapi Khalid degil, tak mahu dengar cakap abi.. Tiba-tiba satu hari semua tu abi ambil balik , Khalid hidup susah, baru Khalid rasa betapa bermaknanya kesenangan yang lalu kan?"
Angguk.
"Macam tu jugalah keadaan sekarang ni. Dulu, Allah bagi nikmat banyak sangat... Tapi manusia tak mahu bersyukur malah manusia tak nak dengar cakap Allah. Sekarang ni, bila dah susah baru semua tahu betapa pentingnya sesuatu arahan Allah. Mustahil arahan daripadaNya itu sia-sia."
"Abi, Khalid tak mahu lawan cakap Allah!" Khalid bersemangat.
"Ya sayang, Khalid kena jadi macam Khalid Al-Walid. Dia seorang panglima perang yang hebat, dia tak pernah gentar dalam mempertahankan agama Islam bahkan dia rela mati di jalan Allah". Bersemangat Salman Al-Farisi memberi kekuatan buat si anak kecil itu. Satu-satunya anak yang masih tinggal untuk bersama-samanya berjuang di jalan Allah.
"Macam abang-abang?" Khalid bertanya lagi.
Terlalu perit kenangan yang lalu itu untuk dikenang. Anak-anaknya semua berjumlah 5 orang. Kelima-limanya adalah lelaki dan 4 orang daripadanya telah pun syahid di jalan Allah. Biarpun perit, namun Salman Al-Farisi tetap bersyukur kerana mempunyai anak-anak yang bergelar mujahid fi sabilillah!
"Abi....."
Khalid mula menyorok di belakang Salman Al-Farisi.
Lamunan Salman Al-Farisi terhenti. Matanya tertancap, melihat objek-objek yang bergerak di hadapannya. Kelihatan beberapa orang tentera berlegar-legar dengan senapang di sisi. Salman Al-Farisi memandang Khalid di sisi yang ketakutan.
Allah... lindungilah anak yang tidak berdosa ini...
Salman Al-Farisi mendukung tubuh kecil Khalid dan melangkah gagah menuju ke masjid yang berada beberapa langkah lagi di hadapannya. Khalid menangis semahunya di bahu abi tercinta...
* * *
Pom! Pom!
Bunyi ledakan peluru membantutkan konsentrasi seluruh jemaah yang sedang bersolat. Khalid terpaku melihat beberapa baris jemaah yang telah pun rebah ke bumi akibat ditembak ketika sedang bersolat. Sebentar sahaja, dan tentera-tentera kejam itu pun pergi meninggalkan mayat-mayat bergelimpangan di dalam masjid.
Khalid mula tidak keruan. Di mindanya tergambar wajah abi tercinta... Khalid mundar-mandir. Satu persatu wajah para syuhada' yang berada di lantai masjid di tatapnya. Dan...
"Abi!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!"
Khalid meraung. Wajah insan yang amat disayanginya berada di situ. Kepala Salman Al-Farisi berlubang ditembusi peluru. Darah yang berwarna merah pekat mengalir membasahi separuh mukanya.Mengerikan.
"Abi... Kenapa tinggalkan Khalid..."
Pandangan Khalid mulai kelam dan Khalid rebah di situ...
* * *
"Umi..." Khalid bersuara dalam sendunya yang masih berbaki.
Nur Laili yang asyik mengelamun tersentak.
"Ya sayang.." Tangan yang mampu menggoncang dunia itu mengusap lembut kepala Khalid. Penuh kasih.
"Kenapa negara Islam yang lain tak bantu kita?"
Nur Laili terdiam, terpegun dengan pertanyaan si anak kecil yang dimatangkan dengan kesusahan hidup, kengerian peperangan, melarat tanpa insan bergelar ayah di sisi.
"Mereka bantu sayang, mereka beri duit, makanan.."
"Tapi umi, Khalid nak senjata! Khalid nak lawan tentera-tentera yang zalim tu!"
Nur Laili tersentak sekali lagi.
"Umi..." Perlahan, Khalid memanggil.
"Ya sayang..."
"Adakah mereka mendoakan kita?".
"Siapa?"
"Semua orang Islam. Orang Islam semua bersaudara, kan umi?"
Nur Laili terdiam. Kepetahan Khalid membuatkan jiwanya bergelora.
Ya Allah, adakah kami berada dalam ingatan saudara-saudara kami yang sedang hidup dalam kesenangan sekarang???.
"Umi..."
Khalid memanggil lagi.
"Ya..."
"Tidak malukah mereka apabila ditanya di Padang Mahsyar nanti apa yang mereka telah lakukan untuk saudara mereka yang berada dalam kesusahan seperti kita?".
"Siapa?"
"Semua orang Islam. Orang Islam semua bersaudara, kan umi?"
Diam.
"Umi.."
"Ya nak.."
"Apa yang telah mereka lakukan untuk kita?". Khalid yang selesa berada dalam pelukan seorang wanita bergelar umi menggenggam erat tangan wanita solehah itu.
"Siapa?"
"Semua orang Islam. Orang Islam semua bersaudara, kan umi?"
Ayat yang sama diulang-ulang oleh anak kecil itu. Mata Nur Laili mula digenangi air...
"Umi tidak tahu sayang..."
''Oh Allah... Masihkah kami layak bergelar saudara???''.
"Umi..."
"Ya sayang..."
Nur Laili mengucup penuh kasih dahi anak kecil itu. Khalid tidak seharusnya merasai suasana seperti ini, terlalu kejam buat dirinya...
"Umi... Abi pernah kata kalau perang, seharusnya mereka berperang dengan tentera sahaja, bukan orang awam macam kita. Betulkah umi?"
"Ya sayang.."
"Jadi mengapa kita digelar pengganas umi?"
Nur Laili tidak mampu lagi menahan air matanya daripada tumpah. Setitik demi setitik, dia tidak tahu mengapa mereka digelar pengganas. Mungkinkah faktor media massa atau apa?. Itu semua dia tidak kisah tapi mengapa ada juga segelintir umat Islam yang mengatakan mereka pengganas?. Tidakkah mereka tahu keadaan saudara mereka ketika ini...
"Kenapa umi menangis?"
Khalid yang merasa titisan air mata jatuh ke atas kepalanya lantas bangun dan mengelap air mata itu..
"Umi, di padang Mahsyar nanti, air mata ini bakal menjadi saksi buat saudara-saudara kita yang diam, membisu tanpa memberi bantuan, kan umi?".
Angguk.
Pom!!!.
Ledakan peluru itu tepat mengenai dada Nur Laili... Khalid terperanjat. Ini merupakan kali kedua insan kesayangannya rebah di hadapan matanya. Khalid menangis.. Tangannya yang kecil menggoncang-goncang tubuh Nur Laili yang kaku. Sekejap sahaja, tangannya merah dibasahi darah umi tercinta.
"Umi, siapa lagi yang akan menerangi malam Khalid..."
Tentera-tentera kejam itu mara menghampiri Khalid. Senapang diacukan ke kepala kanak-kanak kecil itu. Khalid memandang dengan perasaan amarah kerana maruah dia dan keluarganya telah dirobek-robek. Dia tidak lagi gentar. Batu di sebelahnya di genggam kemas, dan..
"Aku mahu jadi seperti Khalid Al-Walid. Allahu akbar!!" Khalid bangun dan melontar batu itu ke arah tentera yang hampir dengannya. Serentak dengan itu juga bunyi ledakan peluru kedengaran lagi, tepat menembusi kepala Khali. Khalid rebah di samping uminya...
"Umi.... Kita dapat jumpa abi dan abang-abang nanti..."
Dan mata Khalid terpejam jua, untuk selamanya....